PESANAN PENTING DARI PENAJA!

About Me

My Photo
RinnAzrinah
Alam Budiman, Selangor, Malaysia
I am Sabahan! 'Aku,saya,me,I,kami,kita' bagiku maknanya tetap sama..
View my complete profile

ENTRI POPULAR SEPANJANG MINGGU

GANGGUAN SEKSUAL

Entry kali ini lebih berinformasi. Pernah tak kalian mengalami gangguan seksual? Atau, anda yang melakukan gangguan tersebut? Tahu atau tidak bahawa perlakuan yang membawa kepada gangguan seksual boleh dikenakan tindakan tatatertib? Ok! aku tak nak buang masa. Straight forward ok!

Gangguan seksual merupakan satu daripada perlakuan yang dilarang atau ditegah sama sekali bagi Pegawai Awam mengikut peraturan 4A Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“4A.    (1)    Seseorang pegawai tidak boleh melakukan gangguan seksual terhadap orang lain, iaitu, seseorang pegawai tidak boleh –

(a)    membuat cubaan untuk merapati orang lain secara seksual, atau meminta layanan seksual daripada orang itu; atau

(b)    melakukan apa-apa perbuatan yang bersifat seksual berhubung dengan orang lain, dalam keadaan yang, setelah mengambil kira segala hal keadaan, akan menyebabkan seseorang yang waras tersinggung, terhina atau terugut.

(2)    Sebutan dalam subperaturan (1) tentang perlakuan sesuatu perbuatan yang bersifat seksual kepada orang lain –

(a)    termasuklah perbuatan sesuatu pernyataan yang bersifat seksual kepada, atau di hadapan, orang lain itu sama ada pernyataan itu dibuat secara lisan, bertulis atau dengan apa-apa lain;

(b)    tidak terhad kepada perlakuan perbuatan itu di tempat kerja atau dalam waktu kerja sahaja selagi perlakuan itu memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam.”



Seseorang Pegawai Awam yang didapati melakukan gangguan seksual, boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana telah melanggar peraturan 4A atau peraturan 4(2)(d), Peraturan Pegawai Awam yang memperuntukkan “Seseorang pegawai tidak boleh berkelakuan dengan cara yang boleh memburukkan atau mencemar nama perkhidmatan awam”. 

Seseorang Pegawai Awam yang didapati bersalah melakukan gangguan seksual boleh dikenakan mana-mana satu atau apa-apa gabungan dua atau lebih hukuman yang berikut, bergantung kepada keseriusan kesalahan itu menurut peraturan 38, Peraturan Pegawai Awam:

(a)    amaran;
(b)    denda;
(c)    lucuthak emolumen;
(d)    tangguh pergerakan gaji;
(e)    turun gaji;
(f)     turun pangkat; atau
(g)    buang kerja.


Beberapa kategori gangguan seksual yang digambarkan dalam peraturan 4A(1) Peraturan Pegawai Awam adalah:

(a)    Cubaan Untuk Merapati Orang Lain Secara Seksual

Secara umum, semua kategori dan bentuk perlakuan serta gangguan seksual termasuk dalam perbuatan “merapati orang lain secara seksual”.  Perbuatan ini mengambil berbagai bentuk dan dilakukan dengan berbagai cara seperti yang dijelaskan dalam perenggan 6. Ia boleh berlaku sekali sahaja atau berulang kali sehingga mendapat reaksi daripada Pengadu.


(b)    Meminta Layanan Seksual Daripada Orang Lain 

Kategori gangguan seksual ini lebih khusus dan boleh berlaku dalam keadaan Pegawai Awam mempunyai kuasa atau dianggap mempunyai kuasa untuk memberikan sesuatu faedah atau ganjaran tertentu kepada Pengadu (quid pro quo atau this in return for that) seperti penilaian prestasi yang baik, peluang peningkatan kerjaya, ganjaran dan faedah-faedah lain yang dijanjikan sekiranya Pengadu bersetuju memberikan layanan seksual kepada Pegawai Awam tersebut.

    Sebagai contoh –

(i)    seorang Pegawai Awam menjanjikan markah penilaian prestasi yang cemerlang sebagai ganjaran apabila Pengadu yang merupakan Pegawai di bawah seliaannya memenuhi kehendak seksual yang diminta atau disyaratkan.

(ii)      seorang Pegawai Awam meminta layanan seksual daripada orang awam yang berurusan dengannya untuk meluluskan sesuatu permohonan atau mendapatkan tender sesuatu projek Kerajaan.

(c)     Gangguan Seksual Yang Mengugut

Keadaan seperti di perenggan 5.1(b) boleh berlaku apabila terdapat elemen ugutan cubaan untuk merapati orang lain secara seksual atau meminta layanan seksual bagi mendapatkan faedah tertentu seperti yang dinyatakan di atas.  Perbezaannya ialah Pengadu tidak dijanjikan dengan faedah-faedah tertentu sebaliknya diugut tidak akan mendapat faedah-faedah seperti contoh yang dinyatakan sekiranya Pengadu tidak membenarkan Pegawai Awam tersebut merapatinya secara seksual atau enggan memberi layanan seksual kepadanya.  

Mengambil contoh yang sama seperti di perenggan 5.1(b)(i) di atas, sekiranya permintaan untuk layanan seksual tersebut ditolak, Pengadu diugut bahawa laporan penilaian prestasi Pengadu tersebut akan dinilai sebagai tidak cemerlang.

(d)    Gangguan Seksual Yang Menyinggung Atau Menghina

Gangguan seksual bagi kategori ini pula memperlihatkan perlakuan seorang Pegawai Awam yang bersifat seksual terhadap orang lain, dalam keadaan yang, setelah mengambil kira segala hal keadaan, akan menyebabkan seseorang yang waras berasa tersinggung atau terhina.

Perlakuan seorang Pegawai Awam seperti merenung atau melihat orang lain dengan pandangan yang berunsurkan seksual dan dilakukan secara sedar, boleh dianggap sebagai gangguan seksual bagi kategori ini.  Begitu juga perlakuan seorang Pegawai Awam yang meraba atau memeluk rakan sekerja yang lain dengan sengaja dan perlakuan ini tidak disukai oleh Pegawai Awam berkenaan.

Selain itu, tindakan membuat pernyataan atau mempamerkan perlakuan yang berunsurkan seksual sehingga mencetuskan kesan atau emosi negatif seperti rasa tidak selamat atau takut kepada seseorang atau Pegawai Awam juga boleh dianggap sebagai suatu gangguan seksual di bawah perenggan ini.

Apa yang dimaksudkan sebagai “segala hal keadaan” dalam peraturan 4A Peraturan Pegawai Awam adalah bergantung kepada fakta dan keadaan setiap kes. Sama ada sesuatu perbuatan atau pernyataan akan menyinggung atau menghina seseorang perlu dilihat dari sudut Pengadu. Seorang Pegawai Awam perlu peka kepada perbezaan agama, budaya dan adat-istiadat kaum di negara ini untuk mengelakkan perbuatan atau pernyataan yang akan menyinggung atau menghina seseorang.

Perbuatan yang “memburukkan atau mencemarkan perkhidmatan awam” dalam peraturan 4A Peraturan Pegawai Awam tidak terhad kepada perbuatan gangguan seksual yang terjadi antara PYDM dan Pengadu sahaja, ia juga boleh terjadi antara lain dalam keadaan-keadaan berikut:

(a)    seorang Pegawai Awam dalam mesyuarat atau ceramah membuat kenyataan atau berjenaka berunsur seksual yang menyinggung, menghina atau mengugut mana-mana pendengar; atau

(b)    perlakuan yang bersifat seksual antara seorang Pegawai Awam dengan Pegawai Awam lain atau dengan orang awam, yang menyebabkan seseorang yang melihat kejadian atau perlakuan itu berasa tersinggung, terhina atau terugut walaupun tidak terlibat sama, boleh dianggap sebagai memburukkan atau mencemarkan perkhidmatan awam. 


Perlakuan, keadaan atau perbuatan yang boleh terjumlah kepada gangguan seksual, antara lainnya adalah seperti yang berikut:


(a)    Gangguan Secara Lisan

Bentuk gangguan ini dapat dilihat dalam penggunaan bahasa lucah melalui perbualan, bercerita, berjenaka, membuat bunyi-bunyian, memberi kritikan, komen, pujian atau mengajukan soalan berunsur seksual ke atas penampilan, pakaian, tingkah laku, tubuh badan atau aktiviti seksual sehingga seseorang berasa tersinggung, terhina atau terugut untuk berurusan dengan Pegawai Awam berkenaan.

(b)    Gangguan Secara Isyarat (Bukan Lisan)


Bentuk gangguan ini dipamerkan melalui sikap atau perlakuan Pegawai Awam yang memberi maksud atau gambaran keinginan yang berunsurkan seksual antara lain, seperti menjeling, menggoda, merenung, mengintai, menjilat bibir atau mengguna bahasa isyarat yang lain.

(c)    Gangguan Secara Visual

Perlakuan menghantar nota, surat, mel elektronik (e-mel), short messaging system (sms), multimedia messaging system (mms), gambar (foto), poster, objek atau bahan bacaan yang berunsur seksual melalui penggunaan apa jua peralatan media, peralatan elektronik atau peralatan komunikasi kepada Pengadu yang menyebabkan Pengadu berasa tersinggung, terhina atau terugut juga terjumlah kepada gangguan seksual.

(d)    Gangguan Secara Fizikal

Terdapat juga gangguan seksual berbentuk sentuhan fizikal yang berunsur seksual seperti mendekati orang lain dalam jarak yang terlalu dekat sehingga orang tersebut berasa kurang selesa, memegang, memeluk, menepuk, menggosok, mencubit, mencium atau meraba sehingga Pengadu berasa tersinggung, terhina atau terugut.

(e)    Gangguan Secara Psikologi

Perbuatan cuba merapati secara seksual, mendorong, mendesak, mengugut atau memujuk rayu bagi memenuhi keinginan seksual Pegawai Awam sama ada melalui surat, telefon, e-mel atau sebarang bentuk peralatan komunikasi kepada Pengadu yang menimbulkan tekanan emosi dan mental ke atas Pengadu adalah terjumlah kepada gangguan seksual.

Dalam keadaan tertentu perbuatan seperti pemberian pujian atau persalaman yang disenangi, pemberian memo atau surat tahniah kerana melakukan tugas dengan baik, perbincangan seksual secara akademik dan relevan kepada bidang tugas Pegawai Awam dan sebagainya yang dilakukan dengan suci hati tidak terjumlah kepada gangguan seksual.

Apabila seseorang mempercayai dirinya telah mengalami gangguan seksual, beliau boleh mengambil mana-mana tindakan berikut:



(a)    Tidak Mengambil Apa-Apa Tindakan

Tindakan ini boleh diambil sekiranya gangguan seksual tersebut telah  dihentikan dan Pengadu tidak mahu memanjangkan perkara tersebut. Keputusan yang dibuat secara sukarela oleh Pengadu adalah sah dan hendaklah dihormati. 

(b)    Mendapatkan Maklumat Atau Bantuan Untuk Menyelesaikan Kes Secara Tidak Rasmi

Pengadu yang tidak pasti sama ada gangguan seksual telah terjadi ke atasnya atau jika Pengadu mempercayai dirinya telah mengalami gangguan seksual tetapi tidak pasti apakah tindakan yang boleh diambil, boleh:

(i)    menghubungi Kaunselor, Pegawai Kaunseling, pegawai atasan atau agensi-agensi yang mengendalikan isu gangguan seksual untuk mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat;

(ii)    setelah mendapat maklumat yang lengkap, Pengadu boleh menyelesaikan kes gangguan seksual dengan cara bersemuka dengan PYDM dan menyatakan dengan tegas, jelas dan berterus terang kepada PYDM bahawa perlakuan tersebut telah menyebabkan Pengadu berasa tersinggung, terhina atau terugut dan ia perlu dihentikan segera;

(iii)    Pengadu boleh meminta bantuan Kaunselor atau Pegawai Kaunseling agar hadir bersamanya ketika Pengadu bersemuka dengan PYDM; dan

(iv)    Pengadu juga dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah berikut:

(A)    mengenal pasti PYDM sama ada PYDM adalah rakan sekerja atau pegawai atasan;

(B)    menyimpan apa-apa nota, e-mel, foto, sms, mms dan lain-lain dokumen atau benda yang diterima daripada PYDM sebagai bahan bukti. Perlu diingatkan bahawa dokumen atau benda yang diterima tersebut tidak boleh diubahsuai untuk menjaga rantaian keterangan bahan bukti tersebut;  

(C)    membuat catatan atau merekodkan kejadian tersebut (sekiranya Pegawai Awam yang mengganggu adalah pegawai atasan atau Ketua Jabatan dan Pegawai berasa takut untuk berterus terang) agar dapat dijadikan sebagai bahan bukti apabila diperlukan;

(D)    memaklumkan kejadian gangguan seksual tersebut kepada pihak ketiga. Walau bagaimanapun jumlah orang yang dimaklumkan mengenai kejadian haruslah dihadkan kepada jumlah yang paling minimum untuk menjaga kerahsiaan dan maruah kedua-dua pihak; dan

(E)    mengenal pasti Pegawai lain yang melihat kejadian yang berlaku agar Pegawai berkenaan boleh diminta untuk memberi keterangan apabila diperlukan.



(c)    Membuat Aduan Rasmi Kepada Kaunselor Atau Pegawai Kaunseling

Sekiranya Pengadu bercadang untuk membuat aduan rasmi kepada Kaunselor atau Pegawai Kaunseling, langkah-langkah yang perlu ialah:

(i)    mengenal pasti PYDM sama ada PYDM adalah rakan sekerja atau pegawai atasan;

(ii)    menyimpan apa-apa nota, e-mel, foto, sms, mms dan lain-lain dokumen atau benda yang diterima daripada PYDM sebagai bahan bukti. Perlu diingatkan bahawa dokumen atau benda yang diterima tersebut tidak boleh diubahsuai untuk menjaga rantaian keterangan bahan bukti tersebut;

(iii)    membuat catatan atau merekodkan kejadian tersebut (sekiranya Pegawai yang mengganggu adalah pegawai penyelia atau Ketua Jabatan dan Pegawai berasa takut untuk berterus terang) agar dapat dijadikan sebagai bahan bukti apabila diperlukan;

(iv)    memaklumkan kejadian gangguan seksual tersebut kepada pihak ketiga, walau bagaimanapun jumlah orang yang dimaklumkan mengenai kejadian haruslah dihadkan kepada seminimum yang mungkin untuk menjaga kerahsiaan dan maruah kedua-dua pihak;

(v)    mengenal pasti Pegawai lain yang melihat kejadian yang berlaku agar Pegawai berkenaan boleh dipanggil untuk memberi keterangan apabila diperlukan; dan

(vi)    mendapatkan perkhidmatan kaunseling di tempat Pegawai Awam bertugas atau di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sekiranya Pegawai mengalami kesan negatif akibat daripada gangguan seksual.

(d)   Membuat Laporan Rasmi Untuk Tujuan Tindakan Tatatertib

Sekiranya Pengadu bercadang untuk membuat aduan rasmi kepada Pihak Berkuasa Tatatertib:

(i)    Pengadu boleh terus membuat laporan rasmi kepada Pihak Berkuasa Tatatertib mengenai kejadian gangguan seksual supaya tindakan tatatertib diambil terhadap PYDM. Dalam keadaan ini, prosedur tatatertib biasa adalah terpakai.

(ii)    Pengadu juga dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah yang dinyatakan di perenggan 8.1(c)(i) hingga (v).

(e)    Membuat Laporan Polis

Sekiranya perbuatan gangguan seksual itu terjumlah kepada kesalahan jenayah, seperti mencabul kehormatan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, meminta layanan seksual sebagai suapan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan sebagainya, Pengadu hendaklah terus membuat laporan kepada polis atau agensi yang bertanggungjawab.

Sekiranya seseorang mempunyai maklumat mengenai perlakuan gangguan seksual oleh seorang Pegawai Awam atau menjadi saksi kepada perlakuan gangguan seksual oleh Pegawai Awam, orang tersebut boleh membuat aduan kepada Kaunselor atau Pegawai Kaunseling, Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkaitan atau membuat laporan polis mengenai perkara itu dengan memberikan butir-butir mencukupi mengenai kejadian gangguan seksual itu. Pihak ini hendaklah juga dinasihati supaya menjaga kerahsiaan aduan tersebut.

Dakwaan gangguan seksual adalah satu dakwaan yang serius dan boleh menjejaskan reputasi seseorang walaupun tidak dapat dibuktikan. Oleh itu, aspek kerahsiaan perlu diberi penekanan di setiap peringkat tindakan yang diambil oleh semua pihak yang terlibat untuk menjaga maruah dan reputasi Pengadu, PYDM, Jabatan dan perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Walaupun begitu, jika Kaunselor atau Pegawai Kaunseling dipanggil untuk memberikan keterangan di mahkamah, tidak ada halangan undang-undang bagi Kaunselor atau Pegawai Kaunseling dari kalangan Pegawai Awam untuk memberikan keterangan di mahkamah jika diputuskan bahawa keterangan tersebut adalah relevan kepada kes dan tidak bercanggah dengan kepentingan awam.

Gangguan seksual boleh memberi kesan negatif kepada Pengadu, PYDM dan organisasi:

Kesan Gangguan Seksual Ke Atas Pengadu

Pegawai Awam yang mengalami gangguan seksual cenderung mengambil tindakan yang boleh merugikan diri mereka dan akhirnya memberi kesan kepada organisasi.  Antara kesan negatif yang boleh mengganggu kehidupan Pegawai Awam ialah:

(i)     Kesan Kerjaya

Pegawai Awam cenderung untuk mengasingkan diri, mengelakkan diri untuk hadir ke pejabat, mengalami penurunan tahap kepuasan atau prestasi kerja, kehilangan pekerjaan atau peluang kenaikan pangkat dan mengubah matlamat kerjaya. 

(ii)     Kesan Kepada Masyarakat

Pegawai Awam yang mengalami gangguan seksual bukan sahaja mengalami kesan dari segi kerjaya, malahan ia boleh menjejaskan keharmonian dalam keluarga terutama hubungan kekeluargaan. 

(iii)     Kesan Fisiologi

Dari aspek implikasi fisiologi, Pegawai Awam mungkin mempamerkan gejala-gejala seperti sakit kepala, gangguan tidur (mimpi ngeri), hilang selera makan atau mempunyai berat badan yang sering berubah.

(iv)    Kesan Psikologi

Pegawai Awam yang mengalami gangguan seksual juga cenderung untuk mengalami kemurungan, kebimbangan, kemarahan, ketakutan, kekecewaan, keaiban, kekeliruan, fobia, panik, berasa rendah diri, tidak berdaya (tidak berupaya), mengasingkan diri atau menyalahkan diri sendiri.

(v)     Kesan Keruntuhan Akhlak

Di dalam situasi di mana tiada sebarang bantuan atau sokongan diberikan kepada Pegawai Awam yang mengalami gangguan seksual, Pegawai boleh terjurus ke arah permasalahan keruntuhan akhlak yang boleh menjejaskan imej organisasi.


Kesan Kes Gangguan Seksual Ke Atas PYDM

PYDM juga mungkin boleh mengalami kesan negatif contohnya –

(i)    menjejaskan kemajuan kerjaya dan masa depan PYDM;

(ii)    menjejaskan kesejahteraan dan hubungan kekeluargaan di antara PYDM dan keluarga di mana mereka mungkin berasa malu, rendah diri, kecewa, sukar menerima kenyataan, hilang kepercayaan dan mengasingkan diri; dan

(iii)    sekiranya aduan yang dikemukakan adalah palsu, atau PYDM melakukan sesuatu perbuatan “gangguan seksual” dengan suci hati, maka aduan terhadap PYDM juga mungkin boleh menyebabkan PYDM mengalami kemurungan, kebimbangan, ketakutan, kekecewaan, keaiban, kekeliruan atau mengasingkan diri.

Kesan Kes Gangguan Seksual Kepada Organisasi

Organisasi juga boleh mengalami kesan negatif seperti –

(i)    Dari aspek pelaksanaan tugas, Pegawai Awam yang mengalami gangguan seksual mungkin mempamerkan penurunan produktiviti, kualiti dan motivasi;
(ii)    Pegawai Awam juga cenderung untuk meletakkan jawatan sebagai pilihan terakhir sekiranya Pegawai Awam berasakan gangguan seksual menjadi lebih serius;

(iii)    Tindakan Pegawai Awam meletakkan jawatan boleh meningkatkan kos operasi kerana Ketua Jabatan perlu melatih pekerja baru; dan

(iv)    Selain itu, sekiranya gangguan seksual melibatkan pihak luar, imej Pegawai Awam dan organisasi juga turut terjejas apabila isu gangguan seksual diwar-warkan kepada umum.

Semua pertanyaan mengenai Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual Di Tempat Kerja Dalam Perkhidmatan Awam bolehlah menghubungi:

ALAMAT
(Update)



Jabatan Perkhidmatan Awam
Bahagian Pengurusan Psikologi
Bangunan MKN-Embassy Techzone
Aras 4, Blok A, No 3200
Jalan Teknokrat 2
63000 Cyberjaya, Sepang
Selangor Darul Ehsan 


No. Tel    : 03-83164401
No. Faks : 0383201972 




*PYDM - Pegawai Yang Disyaki Mengganggu




0 cakap-cakap:

There was an error in this gadget